Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t dengan limpah dan rahmatnya, Unit Audit Dalam berjaya menghasilkan laman sesawang untuk tatapan warga UTM.  Dengan adanya laman sesawang ini, maklumat berguna Unit Audit Dalam dapat diakses dengan mudah oleh pengguna yang berminat.

Sesungguhnya, peranan Unit Audit Dalam amat penting sebagai barisan ketiga dan terakhir struktur kawalan dalaman di UTM.  Unit Audit Dalam berusaha dengan gigih bagi memastikan UTM beroperasi mengikut peraturan dan prosedur bagi mencapai halatuju yang ditetapkan.  Ini bagi memastikan kesilapan, kecuaian dan salah guna kuasa di UTM dapat dicegah atau dikesan apabila ianya berlaku.

Sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan staf yang diketuai oleh Puan Mayuzei Ujang, dengan dibantu oleh Encik Kamarudin Osman, Puan Rosmaniza Haron, Encik Zulkeflee Ab Bakar dan Puan Azizah Abd Samad yang telah berjaya merealisasikan hasrat Unit Audit Dalam untuk memiliki laman sesawang sendiri pada tahun 2020.  Dengan rasminya, laman sesawang ini dapat dilancarkan pada 15 Julai 2020.  Walaupun laman sesawang ini telah berjaya dihasilkan namun usaha perlu diteruskan bagi memastikan kandungan laman sesawang sentiasa dikemaskini, relevan dan menarik untuk dilayari oleh pengguna.

Penubuhan Unit Audit Dalam telah diluluskan melalui Mesyuarat Majlis UTM (sekarang digantikan dengan LPU) dalam mesyuarat ke 71 pada 8 September 1990.  Unit Audit Dalam mula beroperasi pada 17 Ogos 1992 apabila Encik Mohd Rozie bin Marzuki mula melapor diri untuk bertugas sebagai Penolong Juruaudit di aras 4, Bangunan Pentadbiran (sekarang dikenali Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim).

Selang beberapa bulan kemudian, Unit Audit Dalam telah menerima pinjaman staf daripada Jabatan Audit Negara, seorang Juruaudit gred W2 iaitu Puan Nawiyah @ Normah Mohd Som sebagai Ketua Juruaudit Dalam.  Pada awal tahun 1993, seorang Juruaudit W3 telah mula bertugas.  Buat permulaan Unit Audit Dalam telah beroperasi sepenuhnya dengan bilangan 4 orang staf.  Pada tahun 1994, Unit Audit Dalam telah berpindah ke pejabat baharu di aras 2 bangunan yang sama bersebelahan dengan Pejabat Bendahari.  Pada 26 September 1994, Jawatankuasa Audit UTM telah ditubuhkan dan YBhg. Dr. Syed Hussein bin Mohammed telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit yang pertama.

Berikut adalah senarai Pengerusi Jawatankuasa Audit UTM mulai tahun 1994 hingga Januari 2023 ;

Bil. Nama Tempoh
1. Dr. Syed Hussein bin Mohammed 1994 – 1998
2. Dato’ Shamsuddin bin Abdul Kadir 1998 – 2001
3. Dato’ Wan Abdul Rahman bin Yaacob 2001 – 2014
4. Dato’ Low Keng Kok 2014 – 2020
5.
Datuk Ir. Dr. Hamim bin Samuri
2020 – 2022

Pada tahun 1996, Puan Nawiyah telah bersara.  Jawatan Ketua Audit Dalam kosong hampir setahun sebelum Ketua Audit yang baru iaitu Encik Sim Sok Seng dari Jabatan Audit Negara melapor diri pada tahun 1997.  Beliau telah meninggalkan perkhidmatan di UTM pada 31 Disember 2002.  Pada tahun 2004, Unit Audit Dalam telah berpindah semula ke aras 4 Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim sehingga kini.  Jawatan Ketua Audit Dalam disandang oleh staf dalaman UTM mulai tahun 2003 hingga sekarang. 

Pada awal tahun 1993, bilangan staf Unit Audit Dalam seramai 4 orang terdiri daripada Ketua Juruaudit gred W2, seorang Juruaudit gred W3, seorang Penolong Juruaudit gred W6 dan seorang Pembantu Tadbir gred N11.  Setelah 28 tahun beroperasi, bilangan staf kini bertambah kepada 16 orang.  Ia terdiri daripada Ketua Juruaudit gred W52, Timbalan Ketua Juruaudit gred W48, dua orang Juruadudit gred W44, dua orang Juruaudit Gred W41, dua orang Penolong Juruaudit gred W32 dan 5 orang Penolong Juruaudit  gred W29.  Di samping itu terdapat empat orang staf sokongan iaitu seorang Pembantu Setiausaha Pejabat gred N19, dua orang Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) N19 dan seorang Pembantu Operasi gred N14.

Unit Audit Dalam melaksanakan empat jenis Pengauditan iaitu Audit Kewangan, Audit Prestasi, Audit ICT dan Audit Khas/ Siasatan.  Bagi tempoh tahun 1993 hingga 31 Disember 2019, Unit Audit Dalam telah mengeluarkan 195 laporan audit.

Berikut adalah impak atau keberhasilan saranan dan cadangan Jawatankuasa Audit semasa meneliti laporan-laporan audit yang dibentangkan

a)  Universiti berjaya mendapat peruntukan membina pagar keliling kampus utama di Skudai sepanjang 6.17 meter dan berharga RM 3,918,860 yang telah siap pada tahun 2009.

b)  Universiti telah menyelesaikan defisit tabung BATC berjumlah RM6.77 juta pada tahun 2004.

c)  Universiti berjaya mendapatkan semula hasil kutipan berjumlah RM13,100 tidak diserahkan ke Pejabat Bendahari selepas resit rasmi dikeluarkan.

d)  Universiti berjaya menghasilkan norma perjawatan untuk jawatan Pembantu Tadbir dan staf sokongan di fakulti dan bahagian pengurusan kolej-kolej pelajar.

e)  Universiti telah menamatkan perkhidmatan ketua PTJ yang menyalahguna kuasa, tidak amanah dan melanggar peraturan-peraturan kewangan universiti.

f)  Universiti berjaya mengadakan perundingan untuk meminta Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (sekarang dikenali sebagai Majlis Bandaraya Iskandar Putri) memasang lampu isyarat dilaluan masuk ke UTM dari arah Johor Bahru. Lampu isyarat telah siap dipasang pada awal tahun 2020.

g)  Universiti telah menukarkan pegawai N41 yang berkhidmat di Unit Kenderaan kerana menyalahgunakan kenderaan dan kad inden minyak petrol/ diesel.

h)  Universiti berjaya memungut kutipan hasil tertunggak sewaan rumah kediaman staf berjumlah RM40,000.

i)  Universiti berjaya mengurangkan kos penggunaan telefon talian tetap untuk staf bagi kegunaan urusan rasmi.

j)  Universiti berjaya mengesan kesilapan bayaran berjumlah RM69,900 yang tidak diluluskan tetapi bayaran telah dibuat olah kontraktor sebanyak RM69,900 pada tahun 2021.

k)  Universiti berjaya mengawal penggunaan kad inden kenderaan dengan lebih berkesan serta dapat mengurangkan kos penggunaan petrol setiap tahun.

l)   Universiti telah berusaha menuntut kos pembiayaan staf cuti belajar (pensyarah) yang gagal menamatkan pengajian PHD mengikut tempoh yang ditetapkan.

m)  Universiti berjaya mengurangkan kos tuntutan kerja lebih masa daripada RM4 juta kepada RM1.5 juta. 

Peranan Unit Audit Dalam adalah amat penting pada masa kini setelah Unit Integriti ditubuhkan.  Ini kerana Unit Audit Dalam perlu melaporkan kes-kes berkaitan staf universiti yang terbabit dengan kecuaian, ketidakcekapan dan ketidakakuran di samping kes-kes penyelewengan, salahguna kuasa dan pembaziran.

Saya juga ingin mengingatkan kepada warga Unit Audit Dalam agar terus bekerja dengan penuh dedikasi, meningkatkan ilmu pengetahuan sepanjang hayat, menjalin kerjasama yang baik dengan warga UTM dan bersedia dengan cabaran kerja yang semakin getir di dalam persekitaran kerja yang dinamik.

Saya amat berterima kasih kepada semua staf yang telah bersusah payah mencurahkan masa, idea dan tenaga untuk membantu dan melancarkan proses pembangunan laman sesawang Unit Audit Dalam UTM.  Saya berdoa semoga Allah s.w.t mencatatkan sumbangan tersebut sebagai amalan soleh yang berpanjangan.

Sekian sahaja daripada saya.                                                                                           

  وبلح توفق وﻻ حديح وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ  

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA KERANA ALLAH”

“SAYA YANG MENJALANKAN AMANAH”

 M.SAHIDI BIN SAIGON

Ketua Juruaudit

Unit Audit Dalam

Universiti Teknologi Malaysia