STANDARD AMALAN AUDIT DALAM
Juruaudit Dalam mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi standard tingkah laku yang mulia, bersih dan amanah serta professional dalam perhubungannya dengan auditi. Bagi mengekalkan keyakinan auditi, tingkah laku ini hendaklah sentiasa terkawal dan utuh. Antara amalan yang perlu diikuti sepanjang masa adalah :-
- Juruaudit Dalam mestilah bertindak secara bebas, adil dan saksama. Justeru itu, Juruaudit Dalam tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau individu atau terpengaruh oleh kepentingan peribadi.
- Keutuhan memerlukan Juruaudit Dalam menghayati prinsip keadilan dan kebenaran. Ia juga menuntut Juruaudit Dalam berpegang kepada prinsip objektiviti, mematuhi standard tingkah laku profesional, membuat keputusan berasaskan prinsip profesional dalam menjalankan tugas.
- Menggunakan hemat yang munasabah bagi mendapatkan cukup fakta termasuklah mempertimbangkan maklumat dan pandangan yang dikemukakan oleh auditi atau pihak-pihak lain sebagai bukti sahih bagi menyokong pendapat dan kesimpulan audit.
- Berhati-hati dalam menggunakan maklumat yang telah diperolehi semasa melaksanakan tugas dan tidak menggunakan maklumat Rahsia untuk sebarang faedah persendirian atau dengan cara apa sekalipun yang diketahui akan menjejaskan kepentingan dan nama baik Universiti.
- Kesimpulan Juruaudit Dalam setelah mengambilkira maklumat, pandangan yang dikemukakan oleh auditi, mestilah dibuat secara adil dan saksama. Laporan yang dibuat hendaklah mendedahkan fakta-fakta penting yang diketahui jika tidak didedahkan akan menyelewengkan laporan ke atas perkara sebenar atau akan menutupi amalan yang bersalahan dengan undang-undang
- Juruaudit Dalam bertanggungjawab untuk berkelakuan secara profesional pada setiap masa dan perlu mengamalkan due professional care dalam menjalankan tugas dan melaporkan penemuan audit.
- Bagi melaksanakan tanggungjawab profesionnya, Juruaudit Dalam hendaklah berusaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan secara berterusan selaras dengan keperluan dan perkembangan semasa.