BADAN BEBAS DAN BEROBJEKTIF

 

  • Aktiviti UAD akan kekal bebas daripada campur tangan Pengurusan UTM termasuklah hal-hal yang melibatkan pemilihan tajuk auditan, kandungan auditan, skop auditan, prosedur auditan, kekerapan pengauditan, masa auditan atau sebarang kandungan laporan yang membenarkan UAD bertindak secara bebas dan berobjektif.
  • UAD tidak terlibat secara langsung mahu pun berkuasa ke atas operasi atau mana-mana aktiviti bagi perkara yang telah diaudit. Oleh yang demikian, UAD tidak akan terlibat dalam melaksanakan kawalan dalaman, penggubalan prosedur, pembangunan sistem, penyediaan rekod atau sebarang penglibatan lain yang boleh menjejaskan pertimbangan Juruaudit Dalam di masa akan datang.
  • Bagaimanapun UAD adalah tidak dihalang untuk dijemput sebagai penasihat kepada aktiviti-aktiviti tersebut sebagaimana yang digariskan di dalam Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1998. Walau bagaimanapun, nasihat yang diberi itu tidak boleh bercanggah dengan peraturan Universiti dan mengkompromi kepentingan dan kebebasannya sebagai Juruaudit Dalam.
  • Keterlibatan UAD dalam proses khidmat nasihat yang diberi adalah dalam lingkungan skop penasihatan bagi tujuan mengelak kesilapan dan kesalahan serta kepada pematuhan peraturan yang betul tanpa penglibatan sepenuhnya dan secara langsung di dalam membuat keputusan bagi pihak pengurusan.
  • Juruaudit Dalam perlu menunjukkan tahap profesional yang paling tinggi dan berobjektif dalam mengumpul, menilai dan menyampaikan maklumat berkaitan pengauditan yang sedang dijalankan. Juruaudit Dalam perlu membuat penilaian yang seimbang bagi semua keadaan yang berkaitan dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan sendiri atau orang lain dalam membuat pertimbangan.
  • Piagam Audit Dalam UTM perlu disemak semula dan dibentangkan kepada JKA setiap dua (2) tahun sekali atau tertakluk kepada keperluan pindaan dari semasa ke semasa bagi menjelaskan fungsi, kuasa dan tanggungjawab UAD. Piagam ini seterusnya diperakukan dan diluluskan oleh JKA dan LPU